Dalam kunjungan di kediaman kanak-kanak itu di Jalan Pulai Kampung Bandar di sini, keluarga kanak-kanak ber­kenaan menyerahkan sendiri surat permohonan bantuan kepada Rosmah untuk disampaikan kepada pihak berkaitan.

Menurut ibu kanak-kanak itu, Noaili Che Abdullah, 39, dalam surat permohonan itu keluarganya memohon bantuan peralatan sokongan perubatan bagi anak kelimanya itu yang menghidap penyakit tersebut sejak dilahirkan.

Katanya, keluarganya memerlukan bantuan kewangan bagi membeli peralatan soko­ngan perubatan yang tidak dapat dibekalkan oleh pihak hospital.
“Sebelum ini keluarga kami ada menerima sumbangan daripada penduduk kampung, saudara mara dan pemimpin tempatan sejumlah RM1,000.

“Namun, jumlah itu tidak mencukupi untuk perbelanjaan perubatan anak kami yang semakin tinggi ekoran beberapa peralatan sokongan yang sudah mula rosak,” katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima lawatan isteri Perdana Menteri.
Dalam lawatan itu, Rosmah turut menyampaikan sumba­ng­an termasuk bekalan susu Nutren Junior kepada Muhammad Syafiq.

Tambah Noaili, topeng pernafasan digunakan Muhammad Syafiq sudah mula rosak dan dia terpaksa membelinya sendiri selepas pada peringkat awal topeng berkenaan diberikan secara percuma oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya.